Menghadiri kursus secara teori tidak menjanjikan kejayaan yang diharapkan. Anda perlu memastikan ilmu dan maklumat yang disampaikan telah terbukti berkesan.
Sebelum memulakan projek penternakan lintah, bakal penternak haruslah menjangkakan beberapa masalah yang akan anda hadapi:
1. Membiakkan lintah secara produktif
Secara teori lintah akan bertelur dan menetas dalam jangkamasa dua bulan. Dalam masa enam bulan para penternak sudah boleh mengutip hasil yang lumayan. Tetapi yang biasa berlaku adalah jumlah anak-anak yang baru adalah kurang daripada 50 peratus. Dalam jangkamasa setahun anda belum lagi mendapat balik modal.
2. Mengekalkan jangkahayat lintah yang sedia ada
Masalah berkurangannya bilangan lintah yang sedia ada mungkin tidak dapat anda kenal pasti punca sebenarnya. Lintah yang hilang mungkin telah mati dengan sendiri, dimakan oleh pemangsa atau keluar dari kolam yang disediakan.
3. Mengenal pasti dengan tepat musuh-musuh lintah
Selepas beberapa minggu lintah dimasukkan ke dalam kolam buat pertama kali, akan terdapat binatang-binatang yang turut menghuni kolam lintah anda. Ada di antaranya yang menjadi pemangsa kepada telur-telur lintah dan lintah-lintah itu sendiri.
Kehadiran binatang-binatang ini seperti siput, berudu, dan beberapa jenis serangga amat sukar dihindari walaupun permukaan kolam ditutup. Cabaran anda adalah untuk mengenal pasti yang mana satu yang memakan lintah dan telurnya.
4. Mewujudkan habitat lintah yang tepat
Mewujudkan habitat lintah di dalam kolam yang anda sediakan yang sama seperti habitat asalnya adalah cabaran yang paling utama. Jenis tanah, suhu dan pH air, tumbuhan yang hidup di sekitarnya, makanan semulajadi dan beberapa faktor yang lain adalah amat penting yang menjadikan lintah-lintah hidup dengan selesa dan produktif.
Maklumat yang tepat boleh menyelesaikan masalah-masalah lain yang berkaitan seperti yang telah disenaraikan di atas.